Happy Women Day for me?

SELAMAT HARI WANITA BUAT WANITA YANG AKU KAGUMI.

PILIHAN TEPAT PENENTU KEJAYAAN HEBAT!

Semalam aku cukup resah. Banyak sekali yang bermain di fikirku. Sekejap aku salahkan diri, sekejap aku bertanya "Mengapa Tuhan?" . Aku menitiskan airmata baru rasa dada yang sesak perlahan kembali normal. Entahlah, bila kadang-kadang ada isu dihadapi sebagai wanita hal terutama yang difikirkan pasti terdahulu anak-anaknya. Jika anak kecewa, ibu malah lebih parah mengalaminya. Apa isu tersebut bukan alasan. Pokok pangkalnya situasi semalam mengimbau kembali kisah di suatu dahulu...

" Lepas ko balik sekolah, terus ambil adik-adik ko di ladang. Jangan lambat-lambat" Rutin pesan ibu seawal pagi ketika aku melangkah ke sekolah. Maklumlah ketika itu, anak berusia 11 hingga 12 tahun automatik akan menjadi "anak sulung" kerana kakak atau abang yang bersekolah mesti tinggal di asrama. Kami hidup di ceruk kampung yang sangat terpencil daripada lokasi sekolah menengah yang terdekat. Terpencil daripada kemajuan pada ketika itu. Saya angguk kepala dan peluk ibu erat-erat sambil memegang tangan adikku yang tahun 3 ketika itu. Kami perlu bergerak cepat jika tidak mahu ketinggalan daripada segerombalan anak-anak seusia kami yang setiap hari menapak ke sekolah. 

Seusai waktu persekolahan, aku akan segera mencari adikku dan mengerahnya berjalan cepat supaya dapat ke lokasi ibu segera. Adik mengeluh kepenatan dan selalu sahaja lambat bergerak. Badannya kurus kering dan kecil agak keberatan mengalas begnya. Kadang-kadang ada masa aku belas dan larat aku akan membawa begnya supaya dia bergerak cepat. Masa tengahari sangat terik dan kami terpaksa berjalan kawasan yang agak berbukit kerana ladang kami jauh nun atas bukit. Dek rasa yang lapar dan haus kami akan singgah minum air sungai yang mengalir di laluan perjalanan kami. Ketika itu, langsung tidak terfikir tentang air itu kotor atau ada cacing. Maklumlah anak kampung perkara biasa ketika itu.

Sampai di kawasan ladang, ibu aku lihat dari jauh terbongkok-bongkok menanam pelbagai jenis tanaman kontan. Ada jenis berubi, kekacang dan juga sayur jenis buah. Pondok kecil beratap zink berkarat hasil kudrat ibu kelihatan agak daif tapi syukurlah ada tempat berlindung. Ibu sediakan unggun api kecil yang sengaja dimatikan apinya sedikit agar berasap. Kata ibu agar  nyamuk tidak gigit adik - adikku yang lena tidur . Adik lelakiku baru mahu masuk tiga tahun dan yang adik perempuanku kalau tidak silap baru setahun lebih. Seorang tertidur atas ayunan dan seorang lagi tergeletak tidur atas pangkin buluh pondok kecil itu. Aku lihat wajah adik lelakiku penuh dengan kotoran tanah bercampur arang. Kelihatan mukanya merah terbakar dengan kepanasan matahari dan badannya penuh gigitan nyamuk. Si bayi pula selamat digigit kerana ibu memasang jaring nyamuk di sekeliling kain ayunannya. Namun, wajahnya agak merah kepanasan. 

Ibu menjerit dari jauh. "Makan kamu. Cari di dalam bakul" Katanya sambil tangannya ligat mengurus tanamannya. Muka ibu terbakar dan peluhnya menitis ke permukaan wajahnya. Mukanya agak lelah tapi mengenali sifatnya, aku yakin ibu tidak akan berhenti selagi target kerjanya tidak selesai. Ibu hanya akan berhenti untuk urus adik-adikku sekejap kemudian sambung lagi kerjanya. "Bah!" sahutku sambil memangil adikku dengan isyarat tangan "mari!". Makanlah kami berdua dengan nasi berlaukan ikan sardin. Sedapnya! Syukur Tuhan ada rezeki hari ini. Pada ketika itu tiada istilah sedap atau tidak yang penting perut terisi kami bersyukur.

"Ibu, kami jalan dulu" Kataku kepada ibu separuh menjerit. Ibu berdiri sekejap dan berpesan kami hati-hati di jalan raya. "Bah!" Jeritku lagi menyahut sambil sibuk mengemas barang-barang. Set ayunan besi dan kain aku bungkus dan sumbat dalam beg sekolahku seboleh-bolehnya. Selesai itu, barang-barang keperluan adik aku kemas dan masukkan dalam beg plastik yang seterusnya diikat melekat di tangkai begku. "Beres!" Aku tersenyum. Inilah beg "all in one" desis hatiku . Aku panggil adikku yang sembilan tahun. " Nah, kamu sikut ini di belakang. Beg kamu sikut didepan" Arahku. Cemberut muka adikku. "Berat"Protesnya. Mulutnya terherot-herot. "Tahanlah. Sekejap saja itu.Nanti kita mandi kolam-kolam" Pujukku. "Bah...awas kalau menipu" Katanya sambil berlalu. 

Kemudian, aku ambil kain yang panjang khas untuk sikut adikku yang lelaki di belakang. Aku bangunkan adikku sekejap. Aku bonggokkan badan dan suruh di naik ke belakangku. Lepas tu aku ikat kain panjang itu melilit badannya dan badanku. orang Sabah kata sikut guna kain. Setelah kemas ikatanya, aku betul-betulkan kedudukan supaya adikku selesa dan bahuku pun tidak terasa sakit. Seusai itu, aku ambil lagi satu kain panjang. Kali ini adiku yang bayi pula aku sikut di depan. Kedua-duanya lena tertidur sepanjang jalan. Terasa amat panjang jalan yang kami lalui sebab beban yang agak berat di bahuku. Aku lihat adikku yang tahun 3 berjalan longlai dengan beg berat depan dan belakang. Aku lihat mukanya tunduk sahaja. Langsung tidak bersuara. Mungkin mengumpul segala kekuatan yang ada. Tiba di jalan masuk ke rumah kami akan mendaki sedikit jalan yang membukit. Terasa segala kekuatan fizikal dan mental kami harungi bersama. Ketika itulah aku akan menyanyi " Inilah barisan kita, yang ikhlas berjuang...teng!teng!" Penuh semangat. Lama-lama, kami dua beradik akan menyanyi bersama dan ketawa gembira walaupun hanya Tuhan yang tahu beban yang kami sedang harungi. Tiba-tiba terasa semua beban hilang apabila melihat pintu rumah kami. Kami akan berjalan semakin cepat dan cepat. Kadang-kadang bertanding siapa yang cepat sampai dan pegang pintu. Entahlah ketika itu, perasannya seperti menang 4 juta ! Hahaha...

Sesampai di rumah. Aku akan segera menurunkan kedua adikku dan meletakkan mereka atas tempat tidur. Biasanya mereka nyenyak tidur sebab terayun-ayun ketika dalam perjalanan. Adikku yang 9 tahun tu pula sampai sahaja di rumah akan cepat-cepat letakkan beg dan menjerit "Penat!Penat" sambil terus duduk dan baring-baring di lantai rumah. Tidak lama lagi pasti dia tertidur. Biarlah. Penat sungguh dia kelihatannya. Mukanya merah berkeringat dan kelihatan amat letih. Aku duduk sebentar dan melihat jam dinding tua bapa di dinding. Masa menghampiri pukul 3 petang. Aku memeriksa keadaan tiga orang adikku. Nyenyak tidur semuanya. Aku buka langsir dan ekon semula jadi pun masuk ke ruang rumah.Maklumlah tingkap kami ditutup dengan jaring besi sahaja. Terasa nyaman sedikit bila angin bertiup masuk.

Aku kunci pintu rumah dan cepat2-cepat ambil wakid (bekas yang diperbuat daripada rotan dan buluh untuk angkut sesuatu di belakang badan). Aku sangkut tali wakid di bahuku dan dengan pantas memasukkan beberapa botol besar bekas untuk mengisi air di dalamnya. Wakid ibu besar boleh muat 4-5 botol 5 liter. Kami tiada bekalan air bersih dirumah. Kami terpaksa angkat air dari sungai di belakang rumah kami. Tidak terlalu jauh cuma perjalannya agak mencabar. Pergi turun bukit, balik naik bukit. Bayangkan ada 5 botol 5 liter mesti saya angkut untuk keperluan kami. Namun, hidup mesti diteruskan. Tidak ambil air tidak dapat mengurus keperluan memasak dan mandi. 

Saya bulatkan tekad seperti biasa. Saya berlari dengan laju menuruni bukit ke arah sungai. Maklumlah atlet  harapan , sekejap sampai sudah. Dengan tangkas saya akan mula mengisi 5 botol bersaiz 5 liter itu dengan cepat. Risau adik-adik terbangun. Risiko keselamatan. Saya akan memilih kawasan yang agak tenang airnya dan bersih. Saya benamkan botol ke dalam air sungai supaya cepat penuh. Lepas semua penuh, saya akan mandi cepat-cepat.Kadang-kadang mandi kerbau. Who care? Cantik semulajadi bah.Hahaha.

Bila nak balik tu yang seksa. 25  liter bukan calang-calang beratnya bagi budak 11 tahun yang kurus melidi. Namun, jangan risau. Dia ini ada darah pahlawan Pondiling yang terkenal. Dia akan gagahkan diri juga sampai rumah dengan cepat walaupun terasa mahu patah sudah pinggangnya. Selamat sampai di rumah adalah sejenis kebahagiaan juga di kala ini.

Sampai di rumah maka saya perlu jadi Chef lagi. Tiada bekalan gas. Jangan risau. Aku capai beberapa potong kayu dan dengan ilmu tiup-tiup ajaran ibu, ada api untuk mulai menanak nasi. Sementara menunggu nasi masak, aku akan berlari ke belakang rumah kami yang penuh dengan banyak tumbuhan makanan. Jumpa pucuk sayur manis dan ubi kayu. Ada mangga, cili dan limau. Semua diambil ikut kegunaan. Pucuk sayur manis di cuci bersih dan dimasak tumis dengan ikan masin. Sedap bau! Ambil mangga buka kulit dan hiris nipis2. Picit lada campur limau, garam dan gula dan masukkan hirisan mangga. Waduh! Hidangan diraja sudah tersedia. Kataku dengan riak dan bangga. Bagi aku sedap, lantaklah kalau orang kata tak sedapkan.Hahaha.

Usai kerja Chef aku bangunkan adik-adiku. Aku jadi dayang pula kali ini. Aku mandikan adikku yang bayi dulu. Guna air panas sikit dan tambahkan sedikit minyak air putih. Mandikan daripada kepala hingga ke kaki. Kemudian lap bersih-bersih. Sapu minyak air putih di ubun-ubun kepala, celah ketiak, perut,telapak kali dan tangan serta belakang badan. Macam mantera sudah pesan ibu itu aku ingat.Usai si bayi bukan juga bayi betul bah. Setahun lebih sudah kan. Usai si bayi aku urus si abang. Mandikan dan lebih kurang proses dengan si bayi juga. Mesti lap bersih dan sapu minyak air putih. Pakaikan baju panjang tangan dan seluar panjang. Usai mengurus keduanya aku bawa mereka ke dapur rumah. Dudukan mereka dengan selesa sambil menunggu seorang lagi adikku siap mandi. "Jimat air!" Pesanku separuh menjerit. Aku risau adikku banyak gunakan air. Nanti tiada air untuk ibu mandi dan keperluan lain.

Aku menyusun makanan di atas meja dapur kami yang usang. Aku menyenduk nasi dan lauk kepada adikku yang tiga tahun dan 9 tahun. Mereka makan dengan berselera. Si bayi pula aku panaskan semula bubur yang ibu masak pagi tadi. Aku suapkan bubur untuk si bayi. Usai ketiga-tiga adikku makan, aku mencuci tangan mereka dengan menggunakan air yang jimat. Aku menyuruh adikku yang 9 tahun menjaga sebentar adik-adiku yag masih kecil di ruang tamu rumah. Sementara itu, aku akan makan dengan cepat dan terus membersihkan ruang dapur. Kemudian, aku akan mengemas tempat tidur , ruang tamu dan dapur. 

Aku melihat ke luar jendela. Warna bertukar semakin gelap. Dari kejauhan kelihatan ibu bersama ramai lagi ibu, bapa yang bekerja di ladang sedang menuruni bukit untuk kembali ke rumah masing-masing. Aku toleh jam dinding usang itu, rupanya sudah masuk senja gajah. Aku segera panaskan air mandi ibu sebab aku tahu ibu tidak tahan mandi air sejuk. Aku sambut ibu di depan pintu rumah. Aku bukakan pintu untuk ibu. Ibu berusaha tersenyum namun riak letih dan penat lebih dominan terserlah di wajahnya. Aku mengerti betapa penatnya dia berjuang dalam hidupnya. 

Ibu tidak pernah berhenti berjuang. Rutin ibu kekal sebegitu sehingga kami sudah cukup besar untuk mandiri. Ibu berusaha sedaya upaya untuk membantu bapa dalam mencari sumber ekonomi demi menyekolahkan anak-anaknya. Ibu selalu berpesan. Belajarlah betul-betul sebab ini sahaja jalan kamu untuk mengubah kehidupan kamu. Jangan seperti ibu, terpaksa membanting tulang 4 kerat untuk mencari sesuap nasi.

Maka, itu aku amat berterima kasih dilahirkan oleh wanita hebat seperti dia. Punya kekentalan jiwa setinggi gunung dan aura ketekalan usaha yang konsisten. Ibu ini yang mengajar saya bahawa berhenti mengeluh dan menyalahkan orang lain atas nasib yang buruk sebab berkata saja tiada gunanya, paling penting tindakan untuk berubah katanya. 

Selamat Hari Wanita ibu. Kamu wanita terhebat yang mengajariku menjadi seperti sekarang. Tuhan saya mahu ibu kekal sihat dan bahagia selalu. Untukmu ibu...engkaulah segalanya. 

SELAMAT HARI WANITA SEDUNIA- BUAT ANDA WANITA ISTIMEWA!

cikgusobe@8/3/2023

tinta bicara hati

Previous Post Next Post