IBU YANG GAGAL...

 

“ Morning cikgu…anak cikgu datang bersendirian untuk mendaftar program ke ? Kesian dia duduk  berseorangan di ruang pendaftaran. ” Satu message aku terima melalui aplikasi WhatsApp. Tersentak pedih sanubariku. Yalah…anak orang lain diiringi ibu bapa untuk mendaftar. Anakku hanya dihantar COD di tepi jalan sekolah. Nampak cincai betul. Bertuah punya ibu bapa.

Beginilah nasib anak-anakku ini. Ibunya sibuk berkejar ke bandar Kota Kinabalu menunaikan tanggungjawab  sebagai pembentang di UMS,  bapanya pula sibuk menjaga peperiksaan percubaan di sekolah. Kucar-kacir betul kehidupan, anak-anak nampak terbengkalai betul. Alahai hidup! Mata yang memandang pun melontar pandangan sinis. Ermm...gagal...gagal...gagal

“ Sibuk benar menguruskan perihal anak bangsa, program berprestij tinggi  dan menjalankan 1001 perkongsian pintar di peringkat kebangsaan malah ke antarabangsa…Kalau ada peringkat planet, mungkin sana pun tercapai. Walhal, perihal kebajikan anak sendiri ke laut…” Getus hatiku. Bukannya apa…inilah halwa telinga yang sering kali menghantui diriku , malah ada yang dizahirkan secara terang-terangan dihadapanku. Serasa sesak dadaku. Aku menghela nafas berat. Aku hirup udara panjang-panjang…akukah si ibu yang gagal? Mataku  terasa panas…memori semalam terbayang jelas.


“Ibu, bertugas di luar lagi. Ini stok makanan untuk hari Selasa, ini Rabu dan ini Khamis” Kataku kepada tiga orang anakku yang berumur 8, 10 dan 12 tahun. Mulutku terus berkicau menerangkan perincian tanggungjawab mereka sepanjang ketiadaanku di rumah. Tidak lupa jua ku pesan kepada yang paling tua di rumah agar menjaga dengan baik dua orang adik mereka yang lebih kecil. Si bongsu  berumur 3 tahun dan si abang yang berumur 5 tahun. Si Kakak tua mengangguk tenang dan patuh. Faham tugas yang bakal digalasnya. Maklumlah ini yang kesekian kalinya si ibu bertugas di luar lokasi lagi. 
Mereka sudah aku  ceritakan betapa besarnya amanah ibu dan bapa menggalas tugas sebagai pejuang pendidikan di bumi pertiwi. Mereka juga aku kongsikan betapa kerja sang ibu sentiasa menuntut kesabaran mereka untuk selalu menyaksikan ibunya selalu jadi perantau kerana negara. Ibu juga kongsikan betapa sayangnya ibu kepada mereka dan betapa sukarnya berjauhan dengan mereka walau sesaat namun atas amanah yang digalas ibu kuatkan hati untuk mengorak langkah ke medan kerja. Syukur, kadang ada air mata jernih si bongsu mengiringi ibunya berarak pergi namun cabaran ini berlalu seiring masa. 
Maafkan ibu nak...ada masa ungkapan ibu gagal bergema dalam fikiran melemahkan kudrat dan motivasi meneruskan perjuangan. Namun, setiap kali ibu merantau, ibu tinggalkan azimat doa dan harapan bermula langkah sulung sehingga selamat kembali kepada anak-anak dan suami ibu supaya semuanya baik-baik sahaja tika ibu bertempur di medan bakti. Begitulah...cara ibu cuba-cuba tabah dan yakinkan diri, selebihnya ibu serahkan kepada Tuhan yang maha pengasih. Maafkan ibu...ibu  gagal lagi 100% sentiasa bersama di samping anak-anak ibu secara fizikal.

       

                                       
       

                                     

Pendedahan kepada rutih harian dan tugasan khas kendiri memang satu disiplin didikan khas di rumah. Sedari kecil anak-anak ibu sudah terbiasa untuk membuat perihal tugasan rutin harian mengikut tahap umur. Bermula dengan berdikari makan sendiri sejak berumur 2 tahun seterusnya, dilatih masak nasi dan goreng telur pada usia 7 tahun. Bukan apa...ibu risau anak-anak ibu kelaparan ketika ibu dan bapa bertugas di luar. Kan bagus...jika dapat menjaga diri sekurang-kurangnya ikhtiar untuk hidup. Biar nasimu keras dan telur gorengmu hangus nak, asal jangan kebulur!  

Menginjak ke alam remaja mereka akan diberi peluang untuk menguruskan sesuatu perkara yang lebih besar. Misalnya, menguruskan pendaftaran mereka mengikuti sesuatu program di sekolah atau seumpamanya. Yalah, sekurangnya, mereka terdedah untuk belajar berkomunikasi dan memimpin hala tuju hidup mereka. Tidaklah kelak, nak uruskan kad bank atau kirim barang pun bergegar tak tentu pasal. Paling penting, mereka belajar adab dan ilmu berbicara menyantuni insan lain. Silibus hidup ini mereka hanya kuasai jika diberi pendedahan secara hands-on. Sekali sekala, biarkah mereka terbang bertatih meneroka alam buana. Kelak kemahiran ni bisa membantu mereka lebih tegap mengorak langkah ke hadapan. Sayang itu real, tetapi biar bertempat.

Jika kerana hal ini aku di cap ibu yang gagal…biarlah. Perspektif manusiawi amat terbeza. Kadang-kadang mata kita hanya memilih untuk menatap pandangan dongakan yang mewakili ego dan tabiat menilai kita yang perasan 100% betul.  Jarang sekali kita lupa membuka mata hati kita untuk membuat pemerhatian secara menyeluruh dan adil kerana mata hati kita dikaburi dengan sifat suka membanding beza. Ianya seperti aisberg... yang  terlihat jelas cumalah lapisan atasnya yang timbul di permukaan laut, sementara yang dampaknya yang lebih berat dan tidak kelihatan adalah yang berada di dasar permukaan lautan.

Maka, temanku jika kamu menerima pesanan keramat seperti aku. Tenang dan santai di posisi. Anggap saja ia pesanan ikhlas daripada sahabat yang cakna dan menyayangi diri kita sebagai hamba fana milik Tuhan. Jangan cepat terasa dan jangan cepat melatah. Meski kadang sentap, yalah manusia. Kekadang kita mudah naik angin terutama saat kita emosi tak stabil. Namun, bertenang. Sematkan dalam hati. Aku yang pilih apa bentuk hidup yang aku nak. Aku yang tentukan aku nak corak hidup yang bagaimana...ar gitu! 

Teruskan saja cara juangmu mengikut mampu jayamu. Abaikan pandangan dan jelingan manja yang sinis tertawa. Harungi hidup tanpa kemurungan. Engkau tahu mana intan dan kaca. Seringlah kita bersyukur dan muhasabah diri...manusia is manusia. Sentiasa tidak sempurna. Sentiasa perlu learn, relearn dan adjust alignment sehingga tika Dia menjemput kita. What is the big deal man...life is short, make it meaningful. Biar Tuhan menghakimi dan anugerahkanmu sesuai dengan rencanaNya. 

Gagal atau tidak gagal? Biarlah persoalan ini mendepani akal budi kita untuk senantiasa berusaha menjadi yang lebih baik untuk hari seterusnya...Aku si ibu yang gagal tetap meneruskan perjuangan walau ada-ada sahaja kegagalan setiap hari...kenapa juga mau serius sangat bro? Hidupkan anugerah Tuhan. Setiap hari pada saat pertama hari baharu mulai Tuhan memberikan kita waktu yang baharu membuka lembaran baharu yang coraknya kita boleh tintakan yang lebih berpelangi, yang kita fikir lebih 'upgrade'. Jika kamu-kamu, sahabatku berstatus ibu yang gagal seperti aku, ayuh...terus mara ke hadapan. Pantang berundur kecuali dikeroyok! Hahaha...

Ya benar. Usaha keras itu perlu tapi jangan jadi boneka hanya atas nama memuaskan mata-mata yang memandang. Bicara luahan rasa si ibu perantau berdendang noktah  di sini.

Akhir kalam, jika ada suatu kesempatan dan masih ada ruang, pasti kita bertemu titik perkongsian lagi. Berbahagialah dan bersukacitalah...hari ini kita cuba lagi bangkit untuk memperbaiki diri. Jika masih tetap ibu yang gagal...bangkit dan terus bangkit lagi! Berjuanglah untuk diri yang lebih baik kerana kamu yang mahukannya.

Chill ya! Be strong!  Kamu sudah melakukan sehabis baikmu.

Dendangan tinta si Ibu yang gagal...

11/01/2023@1:41am


Previous Post Next Post